Sunday, 3 September 2017

GENERASI MUDA PADA PANDANGAN SARJANA BARAT




oleh Wan Mohd Allwee n Dr wan Adam


Para sarjana Barat lebih memfokuskan perkembangan generasi muda dengan menggunakan istilah belia. Pada penulisan bab 2 ini, perkataan generasi muda banyak diungkapkan dengan perkataan belia.

Belia adalah orang muda yang berada di antara umur kanak-kanak dengan umur orang dewasa. Belia menampilkan ciri orang muda iaitu gaya penampilan, ceria, bersemangat dan sentiasa mengikuti trend semasa.

G. Stanley Hall mendefinisikan belia sebagai golongan yang berusia antara 12 hingga 25 tahun dan berada pada tahap “ribut dan tekanan”.  Beliau menyamakan remaja sebagai permulaan belia. Tekanan yang dihadapi oleh belia pada permulaan fasa adalah kesan perubahan biologi dan psikologi. Perubahan ini menyebabkan belia akan banyak berbicara, peka dan sensitif dengan diri sendiri berbanding berbicara, peka dan sensitif dengan orang lain. Pada peringkat ini konflik dan salah faham sering berlaku antara belia dengan orang dewasa terutama antara anak dengan ibubapa. Konflik juga berlaku sesama mereka.

Erik Erikson pula mendefinisikan belia sebagai satu tempoh umur untuk seseorang mewujudkan rasa jati diri yang sebenar dan mengelak kekeliruan pada peranan dan identiti. Belia pada peringkat ini berusaha menilai kelebihan dan kekurangan diri sebagai satu aset atau liabiliti buat dirinya atau orang di sekelilingnya. Belia akan bertanya pada diri sendiri tentang persoalan siapa mereka, dari mana datangnya mereka, asal usul,  ke mana arah yang hendak dituju dan bagaimana masa hadapan yang ingin dibentuk. Jika belia pada waktu ini tidak mengenali diri sendiri, mereka akan mudah keliru dan akan berlaku pengasingan diri. Pada peringkat ini, belia mementingkan kesetiaan dan berpegang teguh pada nilai yang dipercayai.

Eduard Spranger pula mendefinisikan belia sebagai individu atau kelompok yang sedang berusaha mencari nilai dominasi diri dalam membentuk personaliti. Dalam mencari identiti personaliti, ada di antara mereka mengambil personaliti orang lain sebagai personaliti diri, ada yang menerima nilai-nilai budaya dan idea-idea yang dipegang oleh masyarakat tanpa mengubah personaliti asas yang dimiliki. Ada juga membina personaliti diri sendiri dan matlamat hidup sendiri setelah menghadapi pelbagai cabaran dan kesukaran hidup.

Allison Davis pula berpendapat tempoh usia belia adalah tempoh mengalami proses sosialisasi (hubungan kemasyarakatan) di mana individu berpeluang untuk belajar dan menyesuaikan diri mereka dengan cara, idea, kepercayaan, nilai dan norma budaya. Belia mengambil penerapan itu sebagai sebahagian daripada pembentukan peribadi.

Robert Habighurts pula menafsirkan belia sebagai tempoh seseorang itu membangunkan diri sendiri dari sudut kemantapan kemahiran, pengetahuan, fungsi diri dan sikap di dalam proses pembentukan diri sendiri. Di antara proses pembangunan diri ialah

1.    Proses penerimaan kejadian diri sebagai lelaki atau perempuan.

2.    Proses memahami perhubungan antara rakan sebaya yang sama jantina atau berlainan jantina.

3.    Proses membebaskan diri daripada emosi ibubapa dan orang dewasa.
4.    Proses mencari kebebasan ekonomi dan kebebasan berkerjaya.
5.    Proses membangunkan kemahiran dan kecekapan berfikir.
6.    Proses membina interaksi sosial dan melaksanakan tanggungjawab.
7.    Proses mempersiapkan diri untuk berkahwin dan membina kehidupan berkeluarga.
8.    Proses membina personaliti yang merangkumi nilai-nilai harmoni dengan realiti persekitaran.

Luis A. Gomez de Aouze dan Lucia Ribeiro berpendapat bahawa belia adalah golongan anggota masyarakat yang mempunyai ciri-ciri tingkah laku dan budaya tertentu. Kedudukan, peranan dan penglibatan belia bergantung kepada suasana, struktur dan sistem hidup masyarakat, sama ada yang berkaitan dengan ekonomi, tingkat kemajuan sosioekonomi, pendidikan, ideologi, politik dan  nilai sosiobudaya.

S. Allen pula menyatakan bahawa golongan belia adalah golongan yang produktif, idealistik dan bakal menjadi pemilik masa hadapan masyarakat. Golongan belia boleh dimanfaatkan bagi pelbagai tujuan, termasuk sebagai pelaksana aktiviti kemasyarakatan dan kemanusiaan, malahan golongan belia boleh digunakan untuk tujuan apa sahaja sama ada baik atau sebaliknya.

William L. Shirer pula mengatakan bahawa golongan belia merupakan tenaga penting yang dapat menentukan kuasa pemimpin atau ideologi politik dalam abad ini. Beliau memberikan contoh kebangkitan kuasa Hitler-Nazisme di Jerman, kebangkitan Ideologi Komunisme di Rusia dan kebangkitan Zionisme-Yahudi. Kesemua kebangkitan itu menggunakan kuasa kebangkitan golongan belia dan sokongan yang diberikan oleh golongan belia di atas kesedaran memperbaiki nasib dan masa hadapan mereka.

No comments:

Post a Comment