MEMAHAMI
KEPERIBADIAN GENERASI MUDA BERDASARKAN TEORI GENERASI
oleh Wan Mohd Allwee dan Dr Wan Adam
Teori generasi sosial sering digunakan sebagai
pembahagian kelompok di dalam bidang sains sosial dan pemasaran. Analisis
secara serius dimulakan pada kurun ke 19 setelah munculnya kesedaran tentang
kemungkinan berlakunya perubahan sosial secara tetap dan kesedaran berlakunya
pemberontakan dan perbezaan ketara generasi muda terhadap peraturan dan budaya
sosial semasa.
Pengkelasan dibuat berasaskan kesamaan pada kelompok
umur, idea, gaya berfikir, masalah,
cabaran, nilai, akhlak, gaya tindakan dan pengalaman persekitaran.
Pecahan generasi mengikut umur adalah berbeza-beza pada
pandangan sarjana Barat. Pelbagai teori dan sebab diberikan dalam
mengkategorikan generasi ini.
Pecahan generasi berdasarkan pemikiran sarjana Barat secara
umumnya adalah seperti berikut:
1.
The Lost Generation (Generasi Yang Hilang)
Generasi Yang Hilang ini dikenali juga sebagai generasi
1914 adalah generasi yang terlibat berjuang dalam Perang Dunia Pertama. Mereka
lahir antara tahun 1883 hingga 1900.
2.
The Greatest Generation (Generasi Terbesar)
Generasi Terbesar ini adalah generasi yang berjuang dalam
Perang Dunia ke 2 dan hidup dalam tahun kemelesetan ekonomi yang parah (The
Great Depression). Mereka dilahirkan di antara tahun 1901 sehingga 1924.
3.
The Silent Generation (Generasi Senyap)
Generasi Senyap adalah generasi pada zaman peperangan
Barat dengan Korea dan peperangan Barat dengan Vietnam. Mereka lahir antara
tahun 1925 sehingga tahun 1942.
4.
The Baby Boomers (Generasi Baby Boomer)
Generasi Baby Boomer adalah generasi yang lahir selepas
Perang Dunia ke 2 antara tahun 1943 hingga 1966. Dinamakan Baby Boomer kerana
peningkatan kelahiran yang tinggi. Generasi Baby Boomer merupakan generasi yang
awal yang menolak dan mendefinisikan semula nilai-nilai tradisi dalam budaya
masyarakat dan bermulanya zaman ledakan industri dan inovasi. Mereka merasakan
mereka adalah generasi istimewa yang mana merekalah yang memulakan ledakan idea inovasi dan kekayaan
serta kemewahan dalam bentuk baru. Mereka sanggup bekerja keras dan tidak mahu
berhenti kerja demi merealisasikan impian membangunkan syarikat dan negara. Kebanyakan negara pada waktu itu
telah memulakan alam kemerdekaan dan pemerintahan sendiri.
5.
Generation X (Generasi X).
Generasi X juga dikenali dengan nama Gen-X yang
dilahirkan oleh Generasi Baby Boomer antara tahun 1967 sehingga 1981. Generasi X dibesarkan dalam keadaan
perubahan ekonomi, masyarakat, kebudayaan dan dunia kerja baru ke arah lebih
baik dan lebih mewah. Pada zaman mereka, penciptaan teknologi seperti komputer,
barangan elektronik dan barangan yang memudahkan kehidupan keluarga mereka
telah bermula. Kebanyakan negara di dunia juga telah berada di alam
perindustrian. Zaman perindustrian telah banyak mengubah pola berfikir
masyarakat dan mengubah sistem pendidikan masyarakat. Generasi X ketika
memasuki alam pekerjaan telah diuji dan dicabar dengan perubahan ekonomi yang
meleset, perkembangan teknologi, ledakan perusahaan maya dotcom, perubahan
paras pengangguran dan paras kemiskinan serta berlakunya proses urbanisasi.
Ujian, cabaran, perubahan ekonomi dan
perubahan alam pekerjaan sekali lagi mengubah cara Gen-X berfikir dan bertindak
terutama dalam proses membesar dan mendidik anak-anak mereka sama ada anak
Gen-Y atau anak Gen-Z.
6.
Millennial Generation / Generation Y (Generasi
Milenia/Generasi Y)
Generasi Milenia atau Generasi Y (Gen-Y) adalah generasi
yang dilahirkan antara tahun 1982 sehingga tahun 2000. Ada juga yang menyatakan
tahun terakhir kelahiran generasi Y ialah pada tahun 2004. Mereka dikenali
sebagai generasi alam maya, generasi Facebook,
Twitter, Myspace dan pelbagai aplikasi alam maya. Gen Y adalah sekelompok
manusia yang masa kecilnya penuh dengan mainan dan segala macam aktiviti
sehinggakan mereka mudah bosan berada di tempat yang statik, tidak multitasking atau tempat yang tidak menghargai
kewujudan mereka. Gen-Y melihat dan merasai perubahan tren di alam pembesaran
mereka seperti teknologi semenjak mereka dilahirkan, acara atau program realiti
di TV, perceraian ibubapa (sebahagiannya), ruang kelas yang berbentul
multi-kultural, multi budaya, kreativiti
yang diajar di alam sistem pendidikan mereka semenjak zaman sekolah, ibubapa
yang mendidik mereka untuk berani berbicara, berani meluahkan isi hati dan
berani mencipta dan mencapai impian.
7.
Generation Z (Generasi Z)
Generasi Z juga dikenali sebagai Gen-Z adalah generasi
yang lahir selepas Generasi Y di antara tahun 2000 sehingga 2020. Ada yang
menyatakan kelahiran bermula daripada
tahun 2005 dan ke atas. Penganalisis menyatakan bahawa persekitaran pembesaran
mereka sekarang akan membentuk keperibadian mereka di masa hadapan. Peribadi
ini akan mewarisi sebahagian besar karektor generasi Y malah mereka akan lebih savvy dalam penggunaan internet,
aplikasi maya, lebih bersifat terbuka, tidak boleh hidup tanpa teknologi, tidak memfokuskan kepada mana – mana badan
politik atau organisasi tertentu malah lebih meminati dunia bekerja sendiri dan
keusahawanan melebihi dunia pekerjaan. Malah
bersedia berniaga secara kecil-kecilan seawal usia remaja menerusi
platform alam maya. Mereka berniaga berasaskan minat yang mendalam dalam
sesuatu bidang. Generasi Z lebih suka multi-tasking dengan lebih pantas dan tidak mampu memberikan fokus yang lama
pada satu-satu perkara.
No comments:
Post a Comment