oleh Wan Mohd Allwee n Dr wan Adam
Para sarjana Barat lebih memfokuskan perkembangan
generasi muda dengan menggunakan istilah belia. Pada penulisan bab 2 ini,
perkataan generasi muda banyak diungkapkan dengan perkataan belia.
Belia adalah orang muda yang berada di antara umur
kanak-kanak dengan umur orang dewasa. Belia menampilkan ciri orang muda iaitu
gaya penampilan, ceria, bersemangat dan sentiasa mengikuti trend semasa.
G. Stanley Hall mendefinisikan belia sebagai golongan yang berusia antara 12 hingga 25
tahun dan berada pada tahap “ribut dan tekanan”. Beliau menyamakan remaja sebagai permulaan
belia. Tekanan yang dihadapi oleh belia pada permulaan fasa adalah kesan
perubahan biologi dan psikologi. Perubahan ini menyebabkan belia akan banyak
berbicara, peka dan sensitif dengan diri sendiri berbanding berbicara, peka dan
sensitif dengan orang lain. Pada peringkat ini konflik dan salah faham sering
berlaku antara belia dengan orang dewasa terutama antara anak dengan ibubapa.
Konflik juga berlaku sesama mereka.
Erik Erikson pula mendefinisikan belia sebagai satu tempoh umur untuk seseorang
mewujudkan rasa jati diri yang sebenar dan mengelak kekeliruan pada peranan dan
identiti. Belia pada peringkat ini berusaha menilai kelebihan dan kekurangan
diri sebagai satu aset atau liabiliti buat dirinya atau orang di sekelilingnya.
Belia akan bertanya pada diri sendiri tentang persoalan siapa mereka, dari mana
datangnya mereka, asal usul, ke mana
arah yang hendak dituju dan bagaimana masa hadapan yang ingin dibentuk. Jika
belia pada waktu ini tidak mengenali diri sendiri, mereka akan mudah keliru dan
akan berlaku pengasingan diri. Pada peringkat ini, belia mementingkan kesetiaan
dan berpegang teguh pada nilai yang dipercayai.
Eduard Spranger pula mendefinisikan belia sebagai individu atau kelompok yang sedang
berusaha mencari nilai dominasi diri dalam membentuk personaliti. Dalam mencari
identiti personaliti, ada di antara mereka mengambil personaliti orang lain
sebagai personaliti diri, ada yang menerima nilai-nilai budaya dan idea-idea
yang dipegang oleh masyarakat tanpa mengubah personaliti asas yang dimiliki.
Ada juga membina personaliti diri sendiri dan matlamat hidup sendiri setelah
menghadapi pelbagai cabaran dan kesukaran hidup.
Allison Davis pula berpendapat tempoh usia belia adalah tempoh mengalami proses
sosialisasi (hubungan kemasyarakatan) di mana individu berpeluang untuk belajar
dan menyesuaikan diri mereka dengan cara, idea, kepercayaan, nilai dan norma
budaya. Belia mengambil penerapan itu sebagai sebahagian daripada pembentukan
peribadi.
Robert Habighurts pula menafsirkan belia sebagai tempoh seseorang itu
membangunkan diri sendiri dari sudut kemantapan kemahiran, pengetahuan, fungsi
diri dan sikap di dalam proses pembentukan diri sendiri. Di antara proses
pembangunan diri ialah
1. Proses penerimaan kejadian diri sebagai lelaki atau
perempuan.
2. Proses memahami perhubungan antara rakan sebaya yang sama
jantina atau berlainan jantina.
3. Proses membebaskan diri daripada emosi ibubapa dan orang
dewasa.
4. Proses mencari kebebasan ekonomi dan kebebasan berkerjaya.
5. Proses membangunkan kemahiran dan kecekapan berfikir.
6. Proses membina interaksi sosial dan melaksanakan
tanggungjawab.
7. Proses mempersiapkan diri untuk berkahwin dan membina
kehidupan berkeluarga.
8. Proses membina personaliti yang merangkumi nilai-nilai
harmoni dengan realiti persekitaran.
Luis A. Gomez de Aouze dan Lucia Ribeiro berpendapat bahawa belia adalah golongan anggota
masyarakat yang mempunyai ciri-ciri tingkah laku dan budaya tertentu.
Kedudukan, peranan dan penglibatan belia bergantung kepada suasana, struktur
dan sistem hidup masyarakat, sama ada yang berkaitan dengan ekonomi, tingkat
kemajuan sosioekonomi, pendidikan, ideologi, politik dan nilai sosiobudaya.
S. Allen pula
menyatakan bahawa golongan belia adalah golongan yang produktif, idealistik dan
bakal menjadi pemilik masa hadapan masyarakat. Golongan belia boleh dimanfaatkan
bagi pelbagai tujuan, termasuk sebagai pelaksana aktiviti kemasyarakatan dan
kemanusiaan, malahan golongan belia boleh digunakan untuk tujuan apa sahaja
sama ada baik atau sebaliknya.
William L. Shirer pula mengatakan bahawa golongan belia merupakan tenaga
penting yang dapat menentukan kuasa pemimpin atau ideologi politik dalam abad
ini. Beliau memberikan contoh kebangkitan kuasa Hitler-Nazisme di Jerman,
kebangkitan Ideologi Komunisme di Rusia dan kebangkitan Zionisme-Yahudi.
Kesemua kebangkitan itu menggunakan kuasa kebangkitan golongan belia dan sokongan
yang diberikan oleh golongan belia di atas kesedaran memperbaiki nasib dan masa
hadapan mereka.