GENERASI
MUDA : PENGENALAN, KEPENTINGAN DAN PERANAN
Ditulis oleh Wan Mohd Allwee Dan Dr Wan Adam
Orang muda adalah golongan yang sentiasa diperhatikan.
Pengharapan yang tinggi diberikan kepada golongan muda sebagai pewaris bangsa
dan agama, penyambung perjuangan melestarikan bangsa dan membawa kejayaan pada
negara sebagai sebuah negara yang berdaulat, bermaruah dan disegani di mata
dunia. Menjadi satu kerisauan hari ini, mampukah golongan muda mengemudi
pembangunan negara, pemerkasaan bangsa dan agama pada masa hadapan?. Mampukah
golongan muda menghadapi cabaran demi cabaran dari pelbagai arah?. Apakah ilmu,
kemahiran, nilai, akhlak, pengalaman dan hikmah yang diperlukan oleh mereka sebagai
senjata ketika diberikan tugasan, amanah dan tanggungjawab membawa bangsa,
agama dan negara ke arah kemajuan dan kecemerlangan umat?. Pada bab ini, kita
akan menyusuri pengenalan generasi muda dari sudut takrifan, kepentingan dan
peranan yang boleh mereka mainkan.
PANDANGAN
PUSAT RUJUKAN PERSURATAN MELAYU DAN KAMUS DEWAN
Jika kita merujuk kepada Pusat Rujukan
Persuratan Melayu[1],
golongan muda didefinisikan sebagai
golongan belia dan golongan remaja. Perkataan belia dimaksudkan sebagai
muda manakala perkataan remaja dimaksudkan sebagai sangat muda dan awal belia.
Golongan muda disinonimkan sebagai belia, masih
remaja, masih mentah, budak masih hijau, setahun jagung, ubun-ubun masih lembik
dan masih berhingus.
Kamus Dewan Edisi Ke 4 [2]
mentakrifkan generasi muda sebagai belia dan remaja.
Definisi di atas menunjukkan bahawa belia dan
remaja adalah dua istilah yang berkait rapat dan sukar dibezakan makna
kedua-dua istilah tersebut. Namun begitu diletakkan sedikit perbezaan antara
belia dan remaja.
Belia adalah muda belia, sangat muda, golongan
muda secara keseluruhannya yang terdiri daripada pemuda dan pemudi.
Remaja pula adalah golongan yang baru hendak
menjadi dewasa, awal usia belia, sudah akil baligh,
sudah cukup umur untuk berkahwin kerana sudah mulai timbul rasa cinta berahi.
Apa yang boleh kita fahami ialah golongan muda
adalah satu fasa di antara tingkahlaku dan gaya berfikir antara kanak-kanak dan
golongan dewasa. Golongan belia adalah
fasa antara remaja dan dewasa. Golongan remaja adalah fasa antara kanak-kanak
dan belia.

PANDANGAN
ISLAM PADA ISTILAH GENERASI MUDA
Generasi muda adalah setelah usia baligh dan akal sempurna. Ianya adalah faktor penentu pada
kewajipan melaksanakan tanggungjawab kepada Allah, Rasul dan masyarakat Islam.
Penentuan umur baligh
adalah berdasarkan konsep mukallaf iaitu seseorang yang sudah cukup umur dan
boleh diwajibkan mematuhi segala ajaran, suruhan dan hukum-hakam Islam, mereka
akan dipertanggungjawabkan ke atas segala tingkahlaku dan perbuatan
masing-masing. Dalam satu hadis, Rasulullah S.A.W bersabda,
“Terangkatlah
kalam (catatan amal/tanggungjawab) daripada tiga perkara, orang yang tidur sehingga dia terjaga,
seorang kanak-kanak sehingga dia bermimpi (baligh), seorang yang gila sehingga
dia berakal.”
(Sunan Abu Daud)
Selain itu terdapat tanda-tanda untuk mengenalpasti
seseorang itu telah baligh iaitu tiga
tanda untuk lelaki manakala dua tanda untuk perempuan.

Imam Syafie menyatakan bahawa umur baligh bagi lelaki adalah 12 tahun
manakala baligh bagi anak
perempuan adalah 10 tahun. Namun begitu, cepat atau lambatnya baligh adalah dipengaruhi oleh keadaan
dan persekitaran kanak-kanak itu berada dan dibesarkan.
[1] . Pusat Rujukan
Persuratan Melayu adalah satu unit dibawah Dewan Bahasa dan Pustaka. Boleh
layari : http://prpm.dbp.gov.my/default.aspx untuk maklumat lanjut.
[2] . Untuk memahami
makna apa itu Kamus Dewan Bahasa, boleh rujuk http://ekamus.dbp.gov.my/SinopsisKamus.aspx?type=KDE4
No comments:
Post a Comment