Thursday, 24 August 2017

PERBEZAAN ANTARA ISTILAH “REMAJA” DAN ISTILAH “BELIA” PADA PANDANGAN AHLI PSIKOLOGI BARAT DAN TIMUR

Ditulis oleh Wan Mohd Allwee Dan Dr Wan Adam


PERBEZAAN ANTARA ISTILAH “REMAJA” DAN ISTILAH “BELIA” PADA PANDANGAN AHLI PSIKOLOGI BARAT DAN TIMUR
Perbezaan antara remaja dan belia adalah jarang sekali dikupas kerana kedua istilah ini memberikan gambaran yang kabur dan tidak jelas terutama apabila berlakunya perbezaan dan pertindihan tafsiran umur antara remaja dan belia. Malah pertindanan juga berlaku pada tingkahlaku dan gaya berfikir. Kematangan akal, nilai, akhlak dan tindakan lebih menjurus kepada proses pendidikan dan pentarbiyahan berbanding tempoh usia. Sebagai contoh, kita boleh melihat remaja yang berusia 15 tahun lebih matang gaya berfikir, petah bercakap, matang dalam tindakan berbanding belia yang berusia 20 tahun.
Pihak psikologi perkembangan manusia sama ada dari barat dan timur, tidak sepakat dalam memberikan perbezaan antara remaja dan belia. Perbezaan mereka adalah kecil sahaja dari sudut biologi, sosiologi dan psikologi.
Secara umumnya perbezaan remaja dan belia adalah seperti berikut:

** Untuk memudahkan perbincangan seterusnya, perkataan golongan muda lebih dirujuk kepada gabungan antara golongan remaja dan golongan belia.

HAD UMUR GOLONGAN MUDA
Penetapan had umur golongan muda berbeza-beza antara badan dunia dengan pelbagai negara.
Pada peringkat dunia (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), golongan muda belia adalah antara umur 15 hingga 24 tahun.
Pada peringkat Komanwel, golongan muda adalah antara 15 hingga 30 tahun.
     Contoh:
·         Bangladesh : 15 hingga 30 tahun
·         Brunei            : 15 hingga 35 tahun
·         India               : 15 hingga 34 tahun
·         Hongkong     : 10 hingga 24 tahun
·         Pakistan        : 18 hingga 30 tahun
·         Singapura     : 15 hingga 30 tahun
·         Sri Lanka       : 15 hingga 29 tahun
Pada pandangan Bank Dunia, golongan muda adalah antara 15 hingga 25 tahun.
Pada pandangan Malaysia (Dasar Pembangunan Belia Nasional[1]), golongan muda adalah antara 15 hingga 40 tahun.
Perbezaan ketara pada tahap umur belia di Malaysia kerana penafsiran belia mengikut takrifan Majlis Belia Malaysia ialah golongan yang sudah mencapai taraf matang yang memuaskan dan dapat menerima manfaat maksimum daripada rancangan-rancangan dan program-program yang disusun.
Untuk mempermudahkan perbincangan kita seterusnya, kita akan menggunakan istilah Golongan Muda yang merujuk kepada Golongan Belia dan Remaja. Kita juga akan menggunakan umur golongan muda berdasarkan umur yang menjadi dasar negara iaitu menepati Dasar Pembangunan Belia Nasional antara umur 15 hingga 40 tahun.

KEPENTINGAN DAN PERANAN GENERASI MUDA PADA UMAT
Generasi muda yang sempurna dilihat sebagai seorang atau sekumpulan yang mempunyai idealisme, mahu melihat perubahan dan pembaharuan segera untuk mencapai satu keadaan yang lebih sempurna.
Belia juga dilihat sebagai seorang atau sekelompok yang mempunyai banyak kudrat dan tenaga, mempunyai cita-cita yang tinggi, mampu mencapai taraf kematangan nilai diri, bersedia membangunkan idea yang besar dan praktikal dalam mencorak perjalanan diri sendiri, keluarga dan masyarakat serta negara.
Dasar Pembangunan Negara telah meletakkan beberapa peranan belia. Antaranya ialah:
1.    Menjadikan belia sebagai tunggak harapan bangsa dan tiang seri negara.
2.    Meletakkan belia sebagai tunggak kemajuan negara untuk menyahut cabaran kemajuan wawasan 2020 dengan nilai keperibadian yang tinggi dan melaksanakan kepemimpinan yang mantap,
3.    Membina kemampuan belia membangunkan ekonomi dan negara ke satu mercu yang tinggi dan bermaruah dengan keterampilan tinggi dalam dunia pekerjaan, kerjaya dan keusahawanan tanpa perlu mengharapkan tongkat daripada kerajaan.
4.    Memperkasakan kemampuan membina kepemimpinan negara yang matang dalam erti dan nilai yang sebenar, bersiap siaga mengamalkan amal makruf dan nahi mungkar, bersedia mempersiapkan pewaris kepemimpinan bermula dari peringkat sekolah sehingga ke peringkat universiti. Memfokuskan kepada pembangunan potensi kepemimpinan melebihi keterbatasan aliran pemikiran politik yang sempit dan berbentuk kekitaan.
5.    Menyedari betapa mahalnya nilai perpaduan ummah, nilai bertoleransi tanpa menggadai maruah bangsa dan agama, memahami konsep perselisihan pendapat, memahirkan diri mengurus perubahan dan perbezaan yang wujud dan mengamalkan konsep bermesyuarat dan bermusyawarah dalam menangani pelbagai isu semasa dan isu perkauman yang rumit dan sensitif.


[1] Rujuk Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia di laman sesawang http://ippbm.gov.my

GENERASI MUDA : PENGENALAN, KEPENTINGAN DAN PERANAN



GENERASI MUDA : PENGENALAN, KEPENTINGAN DAN PERANAN

Ditulis oleh Wan Mohd Allwee Dan Dr Wan Adam

Orang muda adalah golongan yang sentiasa diperhatikan. Pengharapan yang tinggi diberikan kepada golongan muda sebagai pewaris bangsa dan agama, penyambung perjuangan melestarikan bangsa dan membawa kejayaan pada negara sebagai sebuah negara yang berdaulat, bermaruah dan disegani di mata dunia. Menjadi satu kerisauan hari ini, mampukah golongan muda mengemudi pembangunan negara, pemerkasaan bangsa dan agama pada masa hadapan?. Mampukah golongan muda menghadapi cabaran demi cabaran dari pelbagai arah?. Apakah ilmu, kemahiran, nilai, akhlak, pengalaman dan hikmah yang diperlukan oleh mereka sebagai senjata ketika diberikan tugasan, amanah dan tanggungjawab membawa bangsa, agama dan negara ke arah kemajuan dan kecemerlangan umat?. Pada bab ini, kita akan menyusuri pengenalan generasi muda dari sudut takrifan, kepentingan dan peranan yang boleh mereka mainkan.

PANDANGAN PUSAT RUJUKAN PERSURATAN MELAYU DAN KAMUS DEWAN
Jika kita merujuk kepada Pusat Rujukan Persuratan Melayu[1], golongan muda didefinisikan sebagai  golongan belia dan golongan remaja. Perkataan belia dimaksudkan sebagai muda manakala perkataan remaja dimaksudkan sebagai sangat muda dan awal belia.
Golongan muda disinonimkan sebagai belia, masih remaja, masih mentah, budak masih hijau, setahun jagung, ubun-ubun masih lembik dan masih berhingus.


Kamus Dewan Edisi Ke 4 [2] mentakrifkan generasi muda sebagai belia dan remaja.
Definisi di atas menunjukkan bahawa belia dan remaja adalah dua istilah yang berkait rapat dan sukar dibezakan makna kedua-dua istilah tersebut. Namun begitu diletakkan sedikit perbezaan antara belia dan remaja.
Belia adalah muda belia, sangat muda, golongan muda secara keseluruhannya yang terdiri daripada pemuda dan pemudi.
Remaja pula adalah golongan yang baru hendak menjadi dewasa, awal usia belia, sudah akil baligh, sudah cukup umur untuk berkahwin kerana sudah mulai timbul rasa cinta berahi.
Apa yang boleh kita fahami ialah golongan muda adalah satu fasa di antara tingkahlaku dan gaya berfikir antara kanak-kanak dan golongan dewasa. Golongan belia  adalah fasa antara remaja dan dewasa. Golongan remaja adalah fasa antara kanak-kanak dan belia.
PANDANGAN ISLAM PADA ISTILAH GENERASI MUDA
Generasi muda adalah setelah usia baligh dan akal sempurna. Ianya adalah faktor penentu pada kewajipan melaksanakan tanggungjawab kepada Allah, Rasul dan masyarakat Islam.
Penentuan umur baligh adalah berdasarkan konsep mukallaf iaitu seseorang yang sudah cukup umur dan boleh diwajibkan mematuhi segala ajaran, suruhan dan hukum-hakam Islam, mereka akan dipertanggungjawabkan ke atas segala tingkahlaku dan perbuatan masing-masing. Dalam satu hadis, Rasulullah S.A.W bersabda,
“Terangkatlah kalam (catatan amal/tanggungjawab) daripada tiga perkara,  orang yang tidur sehingga dia terjaga, seorang kanak-kanak sehingga dia bermimpi (baligh), seorang yang gila sehingga dia berakal.”
                                                                                                      (Sunan Abu Daud)
Selain itu terdapat tanda-tanda untuk mengenalpasti seseorang itu telah baligh iaitu tiga tanda untuk lelaki manakala dua tanda untuk perempuan.
Imam Syafie menyatakan bahawa umur baligh bagi lelaki adalah 12 tahun  manakala baligh bagi anak perempuan adalah 10 tahun. Namun begitu, cepat atau lambatnya baligh adalah dipengaruhi oleh keadaan dan persekitaran kanak-kanak itu berada dan dibesarkan.


[1] . Pusat Rujukan Persuratan Melayu adalah satu unit dibawah Dewan Bahasa dan Pustaka. Boleh layari : http://prpm.dbp.gov.my/default.aspx untuk maklumat lanjut.
[2] . Untuk memahami makna apa itu Kamus Dewan Bahasa, boleh rujuk http://ekamus.dbp.gov.my/SinopsisKamus.aspx?type=KDE4

KURSUS PERCUMA, JANGAN LEPASKAN PELUANG INI?

KURSUS PERCUMA, JANGAN LEPASKAN PELUANG INI?

Khas untuk

1.Graduan yang ingin menceburi bidang penjagaan di rumah
2. Suri Rumah sepenuh masa.
3. Wanita/gadis yang sudah memulakan taska rumah atau penjagaan di rumah.
4. Wanita/gadis yang ingin membuat penjagaan anak-anak di rumah.
5. Wanita/gadis yang ingin menceburi bidang perniagaan penjagaan anak di rumah
6. Sesiap sahaja yang berminat

Hubungi SEGERA. Tempat adalah terhad.